RM1.5 bilion bukti kesungguhan kerajaan Persekutuan, kata Mustapha

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menyifatkan pengumuman kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion sebagai bukti kesungguhan kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan hak negeri itu.

Beliau berkata, peningkatan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menunjukkan tuntutan rakyat Sabah terus diberi perhatian oleh kerajaan.

Menurutnya, jumlah pemberian khas yang diterima Sabah menunjukkan peningkatan ketara sejak tahun 2022 berbanding kadar yang diterima sebelum ini.

“Ini merupakan satu pencapaian besar yang wajar dihargai oleh seluruh rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mustapha berkata, walaupun perkembangan positif itu dicapai, usaha memperjuangkan hak Sabah akan terus diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat direalisasikan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus memperjuangkan hak Sabah secara konstruktif dan bertanggungjawab.