Masiung harap PM bawa khabar gembira hak 40% Sabah

KOTA KINABALU: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Sabah, Datuk Masiung Banah berharap lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sabah hari ini akan membawa khabar gembira berhubung pelaksanaan hak 40% negeri itu.

Beliau berkata, walaupun perkara tersebut masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, kerajaan negeri dan rakyat Sabah berpandangan beberapa komponen hasil yang tidak dipertikaikan boleh dilaksanakan terlebih dahulu.

Menurutnya, dua komponen utama yang dibincangkan dalam mesyuarat berkaitan MA63 baru-baru ini melibatkan hasil cukai kastam dan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Maka kita berharap Perdana Menteri dapat mengumumkan berita baik kepada rakyat Sabah mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan anggaran semasa, bahagian 40% Sabah daripada hasil berkenaan dianggarkan berjumlah RM7.547 bilion dengan pemberian khas negeri mencecah RM3.019 bilion.