KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) secara rasmi mengemukakan permohonan untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti komponen.
Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, permohonan itu disampaikan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam satu pertemuan yang diadakan hari ini.
Menurut Ewon, keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO pada 25 Mei lalu yang sebulat suara bersetuju untuk memohon menyertai gabungan berkenaan.
Beliau berkata, UPKO mahu menyumbang kepada usaha penyatuan parti-parti tempatan Sabah bagi memperkukuh pembangunan negeri serta memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
“Wawasan Sabah First yang diperjuangkan UPKO selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya 2.0 yang dibawa GRS dan perlu diperkukuhkan menerusi kerjasama lebih erat antara parti-parti tempatan,” katanya.
