13 pendaki sesat di RDC Sepilok ditemukan selamat

SANDAKAN: Seramai 13 pendaki yang dilaporkan sesat ketika melakukan aktiviti mendaki bukit di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok berjaya diselamatkan pasukan bomba malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.38 malam itu, kumpulan pendaki terdiri daripada 12 wanita dan seorang lelaki dipercayai gagal menemui laluan turun selepas keadaan mulai gelap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan lima anggota bersama sebuah jentera Compact Rescue Tender (CRT) ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati kesemua mangsa masih berada di atas bukit dan tidak dapat mencari jalan keluar.

“Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan sebelum semua mangsa berjaya ditemukan dan diiring turun dengan selamat hingga ke pintu utama RDC,” katanya.

Beliau berkata, semua mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.14 malam selepas keadaan di lokasi disahkan selamat.