RM2,000 bantuan segera kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, kata Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyalurkan bantuan segera sebanyak RM2,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia, Batu Sapi, Sandakan.

Ketua Menteri Hajiji Noor berkata bantuan itu melibatkan RM1,000 daripada kerajaan negeri dan RM1,000 lagi daripada Yayasan Kebajikan Sabah sebagai langkah awal membantu mangsa.

“Kebakaran ini agak besar, hampir 1,000 rumah musnah dan kita amat bersimpati dengan nasib mangsa,” katanya selepas melawat lokasi kejadian dan menyampaikan bantuan di Dewan PPR Batu Sapi.

Beliau berkata, selain bantuan kerajaan negeri, sumbangan turut diberikan oleh Pusat Zakat Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah.

Hajiji memaklumkan laporan penuh mengenai jumlah mangsa akan diperoleh dalam tempoh satu hingga dua minggu, dengan anggaran awal menunjukkan kira-kira 70% mangsa adalah bukan warganegara.

Namun, katanya, bantuan tetap disalurkan kepada semua mangsa tanpa mengira status.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pembangunan semula kawasan berkenaan, termasuk kemungkinan menimbus tapak untuk pembinaan perumahan baharu.

“Ini melibatkan kos yang besar, jadi kita tunggu laporan dan cadangan daripada pihak berkuasa berkaitan sebelum buat keputusan,” katanya.

Setakat ini, enam PPS dibuka bagi menempatkan mangsa yang kehilangan tempat tinggal.