Sabah perhebat pemantauan Kod Sukan Selamat di sekolah

TAWAU: Sabah mempertingkat pemantauan pelaksanaan Kod Sukan Selamat di sekolah dan institusi pendidikan bagi memastikan aktiviti sukan dijalankan dalam keadaan selamat.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata Majlis Sukan Negeri diberi kuasa memantau semua penganjuran sukan.

Beliau berkata langkah itu penting dalam mengurangkan risiko kecederaan serta memastikan pematuhan garis panduan keselamatan.

“Pendekatan ini juga bertujuan melindungi imej sukan dan institusi pendidikan selain memastikan pelajar dapat menyertai aktiviti secara selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Inspirasi Kurikulum (MAIK) 2025 di SMK Titingan.

Dalam majlis tersebut, 31 pelajar menerima pengiktirafan atas pencapaian cemerlang dalam SPM 2025.