1,000 rumah musnah dalam kebakaran besar di Sandakan

SANDAKAN: Kira-kira 1,000 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Bahagia awal pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan kebakaran melibatkan kawasan dianggarkan seluas 10 ekar dan terbakar sepenuhnya.

Operasi pemadaman berdepan cabaran berikutan laluan sempit, keadaan air laut surut serta angin kencang yang menyebabkan api merebak dengan cepat.

Pasukan bomba menjalankan operasi secara ofensif dan defensif menggunakan beberapa aliran hos, dengan sumber air diperoleh daripada water tanker, pili bertekanan serta air laut.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya selepas api berjaya dikawal serta kerja-kerja overhaul selesai.