KOTA KINABALU: Syarikat tenaga global dari Perancis, TotalEnergies menyatakan minat untuk mewujudkan kehadiran jangka panjang di Sabah bagi memperkukuh penglibatannya dalam sektor tenaga di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata Sabah mengalu-alukan minat tersebut, memandangkan negeri ini mempunyai potensi besar dalam penerokaan laut dalam yang masih belum diterokai sepenuhnya.
“Sabah berhasrat bekerjasama dengan pelabur bereputasi bagi membawa keupayaan dalam penerokaan laut dalam serta pengeluaran yang cekap dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengarah Urusan TotalEnergies EP Malaysia, Jerome Saniez di Menara Kinabalu.
Menurutnya, penglibatan pemain global seperti TotalEnergies mampu memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga serantau.
