Pegawai lantikan politik Sabah lafaz Ikrar Bebas Rasuah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menyaksikan majlis lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh para pegawai lantikan politik di Menara Kinabalu, hari ini.

Majlis itu diketuai oleh Setiausaha Perhubungan Awam kepada Ketua Menteri, Elvin Alrick Jilan, dan melibatkan setiausaha-setiausaha sulit serta setiausaha-setiausaha akhbar daripada pelbagai kementerian.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, serta Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah.

Majlis berkenaan mencerminkan komitmen pentadbiran negeri dalam memperkukuh budaya integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang bersih dalam kalangan pegawai lantikan politik.

Lafaz ikrar itu juga dilihat sebagai usaha berterusan kerajaan negeri dalam memastikan nilai amanah dan ketelusan terus diperkasakan dalam pentadbiran.