KOTA KINABALU: Malaysia Qualifier Dance World Cup 2026 menjadi platform penting dalam mencungkil dan memperkasa bakat seni tari tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program seumpama itu bukan sahaja medan persaingan, malah ruang membentuk keyakinan, disiplin dan jati diri dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, penglibatan belia dalam bidang seni mampu memperkukuh kreativiti dan inovasi serta menyemarakkan perkembangan budaya dalam masyarakat.
“Seni bukan sekadar persembahan, tetapi cerminan identiti, sejarah dan jiwa sesuatu bangsa,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Malaysia Qualifier Dance World Cup 2026, di sini.
Beliau berkata, pertandingan itu turut menjadi medan pemilihan wakil negara ke peringkat akhir Dance World Cup 2026 di Dublin, Ireland pada Julai ini.
Katanya, kementerian akan terus komited menyokong penglibatan belia dalam bidang kesenian melalui pembangunan ekosistem yang lebih inklusif, dinamik dan berdaya saing.
