5 lelaki dicekup kes pecah cermin kereta guru

KOTA KINABALU:  Lima lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menyerang sebuah kenderaan berhampiran Jesselton Quay, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa yang juga seorang guru lelaki berusia 30 tahun dikatakan baru selesai menghadiri majlis di Sabah International Convention Centre (SICC) sebelum berdepan dengan sekumpulan individu dipercayai pekerja sebuah premis kurier.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman, berkata berlaku provokasi lisan sebelum keadaan menjadi tegang.

Menurutnya, mangsa kemudian mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain.

“Susulan itu, beberapa individu bertindak mengejar mangsa sebelum memecahkan cermin bahagian pemandu dan cermin belakang kenderaan berkenaan.

“Mangsa juga mendakwa diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis melancarkan operasi dan berjaya menahan lima suspek lelaki tempatan malam tadi bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.