UMS nafi kaitan dengan ‘Suara Mahasiswa UMS’, logo diguna tanpa izin

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa entiti menggunakan nama “Suara Mahasiswa UMS” bukan sebahagian daripada universiti itu.

Dalam kenyataan hari ini, UMS berkata sebarang kenyataan atau komen yang dikeluarkan oleh pihak berkenaan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.

Menurut UMS, pihaknya juga memandang serius tindakan menggunakan logo rasmi universiti tanpa kebenaran, yang disifatkan sebagai tidak sah dan boleh mengelirukan masyarakat.

UMS turut menasihatkan orang ramai supaya merujuk saluran rasmi universiti bagi mendapatkan maklumat yang tepat.