700 kereta musnah dalam kebakaran stor

TUARAN: Kira-kira 700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran yang melibatkan stor penyimpanan kereta di Stephen Motors Sdn. Bhd., Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.10 tengah hari, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran sebelum merebak ke kawasan stor penyimpanan kenderaan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.10 tengah hari sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

Katanya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan keseluruhan 25 anggota bomba.

“Kebakaran melibatkan kawasan dianggarkan seluas dua ekar yang menempatkan ratusan kereta terpakai.

“Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran pada 3.31 petang dan menyelamatkan 30 kenderaan berhampiran daripada turut terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran hos dengan sumber air daripada jentera water tanker, sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 4.55 petang selepas pasukan bomba memastikan keadaan selamat.