KOTA KINABALU: Program Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan (MISUR) 3.0 menghimpunkan masyarakat setempat, badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat serta pengamal media dalam usaha menyantuni golongan memerlukan sempena Ramadan.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program seperti MISUR bukan sahaja membantu golongan asnaf, anak yatim dan ibu tunggal, malah menjadi platform mempereratkan hubungan antara masyarakat, NGO dan sektor korporat.
Beliau berkata, Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) yang ditubuhkan pada 2024 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) aktif melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan dan kemasyarakatan.
Menurutnya, usaha tersebut penting khususnya di kawasan Kepayan yang mempunyai masyarakat majmuk dengan umat Islam sebagai golongan minoriti, sekali gus membantu memperkukuh perpaduan masyarakat setempat.
Turut hadir Ketua Bahagian PGRS Kepayan Datuk Dr Stephen Jacob Jimbangan, Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Sabah Emmie Datuk Martin Indang serta ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat bahagian Kepayan.
Dalam majlis berkenaan, seramai 66 penerima terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan Ramadan.
