KOTA KINABALU: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) menyantuni warga kerja di tiga hospital utama di Kota Kinabalu menerusi penganjuran Program Badudun (Ziarah) Ramadan dan Program Amal Sahur Ramadan, pada Jumaat lalu.
Program itu melibatkan petugas di Hospital Queen Elizabeth I (QEH I), Hospital Queen Elizabeth II (QEH II) serta Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.
Presiden PAADIAN, Datuk Dr Yusof Yacob berkata program tersebut bertujuan menghargai pengorbanan petugas kesihatan yang terus menjalankan tugas walaupun dalam bulan Ramadan.
Beliau bersama ahli Majlis Tertinggi PAADIAN turut menghadiri majlis berbuka puasa di QEH II sebelum bersama-sama menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih bersama petugas hospital.
Program itu kemudian diteruskan dengan pengagihan pek makanan sahur kepada petugas kesihatan, pengawal keselamatan serta keluarga pesakit di ketiga-tiga hospital terbabit.
Turut hadir tiga Naib Presiden PAADIAN iaitu Mohd Rafie Isa, Sani Gapar dan Dr Ferro Firdaus Ibrahim yang juga Pengarah QEH II, serta Setiausaha Agung PAADIAN Mas Farisan Salleh.
