KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan setakat ini tiada sebarang panggilan kecemasan diterima berkaitan kejadian gempa bumi yang dilaporkan berlaku di perairan Sabah malam tadi.
Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, semua balai bomba di seluruh negeri telah diarahkan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan melaksanakan rondaan serta pemantauan berkala di kawasan jagaan masing-masing.
Menurut kenyataan JBPM, pemantauan itu merangkumi pemeriksaan keadaan struktur bangunan awam, premis tumpuan orang ramai serta kawasan berisiko bagi memastikan tiada sebarang kerosakan atau ancaman keselamatan susulan gegaran yang dirasai di beberapa lokasi.
“Setakat ini keadaan adalah terkawal dan tiada laporan kerosakan atau kecederaan diterima. Pasukan kami terus berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” menurut kenyataan itu.
JBPM turut menasihatkan orang ramai supaya tidak panik dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang perkembangan lanjut. Orang awam juga digalakkan mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi agensi keselamatan dan pengurusan bencana negeri.
Dalam masa sama, JBPM menegaskan komitmennya untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, khususnya dalam situasi melibatkan bencana alam yang berpotensi menimbulkan risiko kepada nyawa dan harta benda.
Sebarang insiden kecemasan boleh dilaporkan segera melalui talian 999 bagi membolehkan tindakan pantas diambil.
