Banjir di Utara Sabah: 336 Mangsa Dipindahkan ke PPS di Kota Marudu, Pitas

KOTA KINABALU: Banjir berterusan akibat hujan lebat sejak semalam memaksa 336 mangsa daripada 111 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Marudu dan Pitas setakat tengah hari ini.

Di Kota Marudu, 274 mangsa daripada 83 keluarga ditempatkan di SMK Tandek 2, manakala di Pitas, 62 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke empat PPS termasuk SK Rukom dan Dewan Kabatasan.

Beberapa laluan utama kini tidak boleh dilalui, termasuk Jalan Pinapak (KM4.44) dan Jalan Kabatasan Dandun di Pitas serta Jalan Access Road III, Kota Marudu. Jalan Kanibongan, Pitas masih boleh dilalui kenderaan besar.

Jabatan Meteorologi Malaysia menaikkan amaran hujan tahap buruk di Beluran, Pitas dan Kota Marudu, sementara Ranau, Kota Belud, Telupid, Sandakan dan Kudat kekal tahap waspada.

Orang ramai diingatkan berhati-hati dan patuh arahan pihak berkuasa.