PAPAR: Laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap dakwaan gangguan dan alihan bekalan air yang dipercayai memburukkan krisis bekalan air di Mukim Kinarut dan Kawang sejak penghujung Disember 2025.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata tindakan itu diambil susulan dapatan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang mengesan gangguan terhadap injap pintu air di dua pam penggalak yang membekalkan air ke kawasan terbabit.
Menurutnya, gangguan tersebut disyaki melibatkan pengalihan bekalan air ke kawasan luar mukim dan luar daerah Papar, sekali gus menjejaskan kawasan yang sudah pun berada dalam jadual catuan.
Beliau menegaskan siasatan dalaman oleh JANS sahaja tidak mencukupi dan siasatan polis perlu dijalankan kerana isu berkenaan melibatkan kepentingan awam serta kemungkinan unsur jenayah.
Dalam masa sama, beberapa langkah segera termasuk penyambungan silang rangkaian paip dan peningkatan kapasiti loji rawatan air sedang dilaksanakan bagi menstabilkan bekalan.
