PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, hari ini didapati bersalah atas 25 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah yang bersidang sebagai hakim Mahkamah Tinggi, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
Najib disabit atas empat pertuduhan rasuah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan akaun AmIslamic Bank Berhad antara 2011 hingga 2014. Pertuduhan rasuah membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan jika sabit kesalahan.
Kes ini merupakan sebahagian daripada siri perbicaraan 1MDB yang bermula pada 2019, dengan pendakwaan memanggil 50 saksi dan pembelaan 26 saksi sepanjang hampir tujuh tahun prosiding.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang berhubung sabitan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
