Judi sabung ayam terbongkar di ladang sawit

TAWAU: Tiga lelaki warga asing ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti perjudian sabung ayam dalam satu serbuan di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Sin Onn Tiku, di sini, semalam.

Dalam operasi sekitar 4 petang, sepasukan anggota dari Balai Polis Tawau bertindak hasil maklumat orang awam dan berjaya menahan ketiga-tiga suspek yang berusia antara 39 hingga 60 tahun di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata pemeriksaan turut membawa kepada rampasan seekor ayam yang dipercayai digunakan dalam aktiviti sabung ayam tersebut.

Kesemua suspek dan barang rampasan kini dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut, dengan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Enakmen Kebajikan Haiwan 2015.

Jasmin menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam perjudian haram.

“Ini termasuk penderaan haiwan, dan menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat bagi membantu membanteras kegiatan sedemikian di daerah ini,” jelasnya.