ECoS gempur 10 premis kesan jual produk elektrik dan gas tanpa label SIRIM

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) menjalankan satu operasi penguatkuasaan terhadap 10 premis di sekitar Kota Kinabalu didapati menjual kelengkapan elektrik dan perkakas gas dalam senarai terkawal tanpa Label Keselamatan SIRIM.

Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan hanya produk yang diuji selamat dan mematuhi piawaian dibenarkan dijual, selaras dengan Peraturan 107, Peraturan-Peraturan Bekalan Elektrik 2024 dan Peraturan 117, Peraturan-Peraturan Bekalan Gas 2023.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati beberapa premis masih memasarkan produk elektrik dan perkakas gas tanpa label keselamatan berkenaan, dan tindakan notis larangan telah dikeluarkan kepada semua premis terlibat.

“Premis-premis itu turut diarahkan menarik balik semua produk tanpa label dalam tempoh 14 hari, dan kegagalan mematuhi arahan boleh membawa kepada tindakan lanjut termasuk penyitaan barangan.

“Kesalahan menjual kelengkapan elektrik tanpa Label Keselamatan SIRIM boleh dikenakan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun, manakala penjualan perkakas gas tanpa label boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, termasuk denda tambahan harian bagi kesalahan berterusan seperti diperuntukkan dalam Enakmen Bekalan Gas 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan pengguna supaya sentiasa memilih produk yang mempunyai Label Keselamatan SIRIM kerana ia menjamin produk tersebut telah diuji mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan, sekali gus mengurangkan risiko renjatan elektrik, litar pintas, kebakaran dan kecederaan.