KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjadi bukti jelas bahawa kepimpinan beliau berjaya membawa kemajuan nyata kepada rakyat Sabah.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang menuduh Hajiji sebagai ‘menjual ubat’.
Tegas Nizam, tuduhan itu hanyalah cubaan mengalih perhatian daripada kegagalan pentadbiran Warisan yang masih diingati rakyat.
“Shafie boleh menuduh apa sahaja, tetapi rakyat tahu siapa yang hanya pandai berjanji dan siapa yang bekerja dalam diam membawa hasil kepada negeri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sekadar slogan politik, sebaliknya pelan pembangunan menyeluruh yang telah menunjukkan hasil dalam tempoh singkat.
Di bawah kepimpinan Hajiji, hasil negeri Sabah meningkat hampir RM7 bilion pada tahun 2024, selain merekodkan pelaburan RM11.37 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2025.
Mengulas isu bekalan air yang sering dijadikan modal politik oleh Warisan, Nizam menjelaskan bahawa kerajaan negeri kini giat melaksanakan 18 projek infrastruktur air utama termasuk Empangan Air Tawau, Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar serta naik taraf Muka Sauk Kabang yang dijangka siap tahun hadapan.
“Projek-projek ini sebahagian daripada pelan jangka panjang untuk memastikan rakyat Sabah menikmati bekalan air bersih yang mampan — bukan sekadar janji ‘setahun selesai’ seperti dicanang Warisan dahulu,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa program Rumah Mesra SMJ telah menyiapkan lebih 7,000 unit rumah untuk rakyat, manakala skim Bantuan Tunai SMJ diperluas bagi membantu golongan berpendapatan rendah.
“GRS tidak menjual ubat. GRS sedang menyembuhkan kesan pentadbiran lama yang gagal. Di bawah Hajiji Noor, Sabah bergerak dengan tenang, berasaskan fakta dan hasil, bukan retorik,” tegasnya.
