20 PATI Dicekup Dalam Ops Besar-Besaran Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Taktik licik pendatang asing tanpa izin (PATI) bersembunyi di sekitar bandar raya ini akhirnya terbongkar apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menggempur beberapa lokasi tumpuan dalam siri operasi khas malam tadi.

Dalam operasi dikenali sebagai Ops Belanja, Ops Sapu dan Ops Bersepadu bersama Majlis Perbandaran Penampang, seramai 20 PATI ditahan daripada 54 individu yang diperiksa.

Menurut kenyataan JIM Sabah, operasi dijalankan pada 27 dan 29 Oktober 2025, bermula jam 10.30 malam hingga 1.00 petang, melibatkan 25 pegawai penguat kuasa dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.

“Lima warga Pakistan, 14 warga Filipina dan seorang warga Indonesia ditahan selepas didapati tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta tinggal lebih masa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua tahanan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, sebelum dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan, JIM Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi PATI, dan operasi seumpama ini akan diperhebat dari semasa ke semasa.

“Kita serius dalam membanteras PATI. Orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada JIM sekiranya mengetahui kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing,” tegasnya.