KOTA KINABALU: Tahap penguatkuasaan terhadap pengendalian taska dan tadika di Sabah perlu diperkasakan bagi menjamin keselamatan serta mutu pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini, kata Pengerusi Kolej SIDMA Sabah, Prof Dr Mornie Kambrie.
Beliau berkata, walaupun garis panduan dan undang-undang berkaitan operasi institusi pendidikan awal sudah diwujudkan, namun pelaksanaannya di lapangan masih longgar dan tidak menyeluruh.
Katanya, masih ada taska dan tadika beroperasi tanpa pendaftaran sah, tidak mematuhi nisbah guru kepada murid serta kurang pemantauan berkala daripada agensi berkaitan.
“Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kualiti pembelajaran, malah turut menimbulkan risiko terhadap keselamatan kanak-kanak.
“Kerajaan perlu memperkukuh mekanisme pemantauan secara lebih agresif termasuk tindakan tegas terhadap pengusaha yang gagal mematuhi piawaian minimum,” katanya di sini hari ini.
Seramai 96 graduan diraikan pada majlis itu dengan 75 daripadanya menamatkan pengajian dalam Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak, diikuti lima graduan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 11 Diploma Pengurusan dan lima Diploma Pengurusan Sukan. Majlis dirasmikan oleh Prof Dr Bustam Kamri daripada Universiti MAIWP.
Dr Mornie menegaskan, pendidikan awal adalah asas pembentukan modal insan dan tidak boleh dikendalikan secara sambil lewa.
Justeru, setiap taska dan tadika perlu memastikan tenaga pengajar terlatih, berdaftar serta mematuhi aspek keselamatan fizikal dan kebersihan premis.
Beliau berkata, peningkatan penguatkuasaan bukan untuk menghukum, sebaliknya mendidik serta membimbing pengusaha ke arah memperkukuh kualiti perkhidmatan.
Katanya, Kolej SIDMA komited melahirkan lebih ramai tenaga pengajar berkelayakan bagi menyokong usaha kerajaan meningkatkan standard pendidikan awal kanak-kanak di Sabah.
