KINABATANGAN – Lima individu cedera apabila sebuah lori bertembung dengan van Toyota Hiace di Jalan Segaliud, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian pada jam 9.20 malam itu, pemandu lori dan seorang penumpang van tersepit sebelum berjaya dikeluarkan pasukan bomba menggunakan peralatan khas Rescue Tools.
Komander Operasi, PBK II Zia Hairil Hamzah berkata, pihaknya mengerahkan tujuh anggota bersama sebuah jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba, kami mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dengan lima mangsa terlibat. Dua mangsa tersepit dan berjaya dikeluarkan, manakala tiga lagi mengalami kecederaan,” katanya.
Menurutnya, semua mangsa kemudian diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut.
Operasi turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tamat sepenuhnya pada jam 11.35 malam selepas kawasan dipastikan selamat.
