KOTA BELUD: Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bagi memperkukuh semula pengaruh parti itu di kawasan berkenaan.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata parti kini sedang meneliti senarai calon berpotensi dengan mengambil kira penerimaan rakyat, kekuatan di akar umbi serta keupayaan membawa pembangunan kepada kawasan tersebut.
Beliau berkata, calon yang dipilih nanti bukan sahaja mesti berpotensi menang, tetapi juga benar-benar menjadi suara rakyat.
“Kita tidak hanya menilai calon berdasarkan pengaruh politik, tetapi juga komitmen, keikhlasan dan kemampuan mereka memahami denyut nadi rakyat,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, BN Sabah kekal komited memperkukuh jentera parti menjelang PRN akan datang dengan memastikan kesiapsiagaan di semua peringkat.
“Kita tidak boleh leka atau bergantung kepada kekuatan lama kerana rakyat kini menilai berdasarkan tindakan dan keikhlasan kita untuk berkhidmat,” katanya.
