Upko Cadang PH Guna Logo Sendiri di PRN Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) mencadangkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) supaya menggunakan lambang sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick, berkata cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan akan dimuktamadkan secara bersama dalam kalangan pimpinan PH.

“Kita mahu PH mempunyai penonjolan kepada semangat Sabah. Sebab itu Upko mengemukakan syor agar kita menggunakan logo sendiri. Saya percaya rakan-rakan dalam PH memahami apa yang disuarakan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, isu itu masih dibincangkan secara dalaman dan hanya akan diumumkan selepas keputusan muktamad dicapai.

Beliau turut mengulas khabar angin bahawa Upko bakal bertanding menggunakan logo sendiri pada PRN Sabah.

Dalam masa sama, Ewon yang juga penyandang kerusi DUN Kadamaian mengesahkan akan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya nanti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini mengumumkan pembubaran DUN Sabah pada 6 Oktober lalu, sekali gus membuka laluan kepada PRN Sabah ke-17 yang bakal menyaksikan 73 kerusi dipertandingkan dan enam lagi dilantik.