GRS Difitnah, UMNO Diminta Henti Politik Sempit – Johainizamshah

KOTA KINABALU – Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Lamag, Johainizamshah Johari membidas kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman yang didakwanya cuba menabur fitnah serta mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, penularan video yang mengaitkan Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan beberapa pemimpin STAR merupakan taktik kotor untuk menjatuhkan imej kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kalau benar video itu melanggar undang-undang, lapor kepada pihak berkuasa. Jangan bersandiwara untuk meraih simpati politik murahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johainizamshah mempersoalkan dakwaan bahawa individu bernama Albert Tei memberi dana kepada Dr Jeffrey sedangkan Tei tidak mempunyai kuasa dalam mana-mana GLC yang boleh meluluskan lesen perlombongan.

Beliau turut mendakwa video yang tular itu berkemungkinan besar telah disunting bagi mencipta persepsi negatif terhadap GRS dan kepimpinan negeri.

Katanya, kerajaan negeri di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak pernah meluluskan lesen perlombongan seperti yang dituduh.

Johainizamshah juga menyelar sikap UMNO yang menurutnya hanya berani menyerang pihak lain, tetapi berdiam diri apabila pemimpin mereka sendiri terpalit isu rasuah.

Beliau memuji kepimpinan Hajiji yang disifatkan berani dan tegas, serta menegaskan bahawa rakyat Sabah tidak lagi mudah terpengaruh dengan politik sempit yang dimainkan pembangkang.