KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menolak keras dakwaan UMNO Sabah yang melabel Kerajaan Negeri sebagai “pengkhianat terbesar kepada rakyat” susulan penularan video perbualan antara seorang ahli perniagaan, Albert Tei bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Ketua Penerangan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Barhul Sahibu berkata, tuduhan yang dibuat Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman jelas berunsur fitnah politik murahan.
“UMNO Sabah menangguk di air keruh dengan menjadikan video tular tanpa bukti sahih sebagai modal politik. Jika benar ada asas, serahkan kepada pihak berkuasa, bukan hanya menuding di media,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menegaskan UMNO tidak berhak bercakap soal integriti kerana pimpinan mereka sendiri masih berdepan kes mahkamah.
“Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin masih terpalit kes rasuah yang belum selesai. Bukankah itu membuktikan siapa sebenarnya liabiliti politik?” ujarnya.
Menurut Barhul, serangan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor hanya helah menutup kegagalan UMNO selepas kekalahan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
“Hajiji kekal fokus kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat. UMNO boleh terus bersandiwara, namun GRS komited membawa hala tuju jelas untuk Sabah,” katanya.
Beliau menambah, rakyat kini matang menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan propaganda lama pembangkang.