PRN Sabah: UMNO desak PH pilih BN atau GRS – Awang Aslee

KOTA KINABALU: UMNO Beaufort menuntut Pakatan Harapan (PH) segera menyatakan pendirian sama ada mahu kekal bersama Barisan Nasional (BN) atau memilih Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, penjelasan itu penting kerana BN dan GRS kini berdepan sebagai lawan politik utama, manakala kedudukan PH kelihatan masih samar.

Katanya, sebagai contoh sekiranya BN dan GRS bertembung ke mana sokongan pengundi PH, adakah mereka akan bantu BN atau sebaliknya?

“Kita lihat PH akan untung besar…Kerana pada PRN nanti sudah tentu BN dan GRS akan membantu calonnya menang apabila bertanding nanti.

“Apa yang pasti, BN dalam keadaan serba salah, kerana jika BN dan GRS berantap disatu-satu DUN dalam PRN17 ini.

“Penyokong-penyokong PH mahu undi siapa, undi BN atau Undi GRS….PH kena clear dalam perkara ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Awang Aslee merupakan Pengerusi BN Beaufort berkata, pihaknya tidak mahu PH menjadi ‘duri dalam daging’ yang akhirnya menikam BN dari belakang pada PRN Sabah ini.

Beliau menegaskan, isu itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi bersama PH, namun perlu diputuskan segera agar tidak menjejaskan strategi kempen.

“BN tidak boleh masuk gelanggang pilihan raya dengan rakan yang tidak konsisten.

“Akar umbi juga mahu kepastian supaya tidak berlaku perpecahan ketika berkempen,” tegasnya.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN tidak akan bekerjasama dengan GRS pada PRN Sabah, sebaliknya hanya bersama PH meskipun pernah mengadakan rundingan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Awang Aslee berkata, pendirian jelas daripada PH amat penting supaya gabungan itu dapat bergerak dengan satu suara.

“Kita mahu masuk PRN dengan barisan rakan yang jelas, bukan dengan pihak yang boleh menikam dari belakang,” katanya.