Sabah Peruntuk RM70 Juta, Ikhtiraf UEC – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM70 juta untuk sekolah mubaligh, sekolah swasta Cina, tokong dan badan agama bukan Islam, dengan jumlah itu akan ditingkatkan kepada RM90 juta tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut mengumumkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC), sekali gus melayakkan pemegang sijil berkenaan menerima biasiswa negeri dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja mengiktiraf, malah turut mempertimbangkan permohonan biasiswa bagi pemegang sijil ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama masyarakat Cina dan badan agama bukan Islam di Dewan Hakka, malam tadi.

Menurutnya, bantuan berkenaan meliputi pelbagai sokongan lain menerusi Peruntukan Khas Ketua Menteri termasuk sambutan Tahun Baharu Cina, pembelian peralatan tarian singa, Festival Bot Naga, bantuan kepada gereja dan persatuan kebudayaan.

Hajiji berkata, kerajaan sentiasa memastikan semua komuniti mendapat layanan adil tanpa mengira bangsa dan agama, selaras dengan prinsip perpaduan yang menjadi pegangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam masa sama, beliau mengakui isu kekurangan bekalan air masih menjadi cabaran utama apabila kerajaan negeri terdahulu menamatkan konsesi sehingga terpaksa membayar pampasan RM315 juta kepada syarikat terlibat.

Katanya, kerajaan kini sedang melaksanakan 18 projek pembangunan bekalan air bernilai RM1.2 bilion di seluruh Sabah, termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Kogopon di Papar bernilai RM365 juta serta Empangan Air Cinta Mata di Tawau bernilai RM300 juta.

Selain itu, Loji Rawatan Air Telibong II yang telah menyalurkan 160 juta liter sehari dijangka mengurangkan masalah air di Kota Kinabalu, manakala Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan Air Ulu Padas akan menjadi penyelesaian jangka panjang dengan kapasiti 6,000 MLD menjelang 2030.