Talian Penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud (No.2) Berjaya Dipulihkan

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) berjaya memulihkan sepenuhnya talian penghantaran 275kV Kolopis–Segaliud (No.2) selepas pemasangan menara Emergency Restoration System (ERS) disiapkan lewat petang Ahad.

Pemulihan ini menyusul kejayaan penyambungan semula talian pertama pada 17 September lalu susulan kejadian tanah runtuh pada 13 September yang menyebabkan kerosakan teruk dan gangguan bekalan ke Pantai Timur Sabah.

Talian kedua disambungkan ke sistem grid pada jam 9.10 malam tadi, memastikan kestabilan semula bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Mohd Yaakob Jaafar menzahirkan penghargaan kepada pasukan teknikal dan semua pihak terlibat atas komitmen tinggi mereka dalam usaha pemulihan ini.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri, pasukan teknikal, kontraktor, dan pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.