Pesuruhjaya PAS Sabah Dakwa Terima Ugutan

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Aliakbar Gulasan membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan daripada individu tidak dikenali di rumahnya, semalam.

Aliakbar berkata, anaknya menemui sekeping kertas bertulis perkataan “DATUK” menggunakan cat merah bersama sebiji batu di luar pagar rumah mereka kira-kira jam 8 pagi.

“Turut ditemui plastik lut sinar berisi batu dan cat merah yang terkena dinding rumah saya. Laporan dibuat sebagai langkah keselamatan dan untuk tindakan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Beliau menegaskan tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, namun menganggap perbuatan itu tidak wajar sekiranya bermotif politik.

“Kalau ia berkaitan faktor politik, saya anggap ini politik kuno. Demokrasi perlu diraikan secara aman, bukan dengan ugutan atau tindakan menakutkan orang lain.

“Saya sendiri berpolitik dengan adab dan etika, tidak pernah maki hamun atau mencaci.

“Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dalam perjalanan kempen,” katanya.