Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Pengerusi Baharu Sabah Electricity

KOTA KINABALU: Pengerusi baharu Sabah Electricity Sdn. Bhd. (Sabah Electricity), Saadiah Aziz mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Kunjungan itu bertujuan memperkenalkan diri secara rasmi kepada Ketua Menteri susulan pelantikannya sebagai Pengerusi Sabah Electricity berkuat kuasa 31 Julai lalu, menggantikan Datuk Wilfred Madius Tangau.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak turut berbincang mengenai halatuju strategik syarikat utiliti itu serta peranannya dalam menyokong agenda pembangunan negeri Sabah.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Mohd. Yaakob Jaafar.

Saadiah, 49, sebelum ini merupakan Naib Presiden Kanan Khazanah Nasional Berhad dan berpengalaman luas dalam bidang korporat serta pembangunan strategik negara.

Pelantikannya dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pengurusan Sabah Electricity, khususnya dalam menambah baik sistem bekalan tenaga di Sabah yang masih berdepan pelbagai cabaran teknikal dan infrastruktur.

Sabah Electricity merupakan entiti utama dalam pembekalan elektrik di Sabah dan Labuan, dan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan mampan serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.