KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah memberi amaran tegas terhadap penyebaran kenyataan berunsur fitnah, palsu dan menghina berkaitan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di media sosial.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, berkata institusi TYT perlu dihormati sepenuhnya kerana ia merupakan lambang perpaduan, kesinambungan dan kedaulatan negeri.
“Jawatan TYT bukan sekadar simbol, malah ia sebahagian daripada kerangka Perlembagaan Negara.
“Sebarang cubaan mencemar nama baik institusi ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau menegaskan, kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan maklumat palsu atau berniat jahat.
“Tindakan Undang-undang Menanti. Penyebaran fitnah dan kenyataan menghina TYT boleh disiasat dan didakwa di bawah beberapa peruntukan undang-undang termasuk: Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 Kanun Keseksaan.
“Penggunaan media sosial perlu dilakukan secara bertanggungjawab. Kita mesti kekalkan ruang digital yang beradab dan berinformasi,” katanya lagi.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada sumber rasmi dan sahih sebelum menyebarkan sesuatu maklumat.
“Mengelak menyebarkan fitnah yang belum disahkan kebenarannya. Memahami bahawa tindakan menyebar berita palsu boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negeri.
“Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menegaskan bahawa pihaknya komited dalam mempertahankan institusi perundangan serta memastikan setiap bentuk komunikasi mematuhi nilai kejujuran, integriti dan akauntabiliti,” katanya.
Simbol Warisan Negeri Brenndon turut menyeru masyarakat supaya melihat Istana Seri Kinabalu sebagai lambang warisan dan nilai negeri yang perlu dihormati sepenuhnya.
“Menjaga martabat dan kehormatan TYT adalah tanggungjawab bersama demi kestabilan serta kemakmuran negeri Sabah yang kita cintai,” katanya mengakhiri kenyataan.
