KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan pencapaian hasil Sabah sebanyak RM6.9 bilion dan rizab RM8.7 bilion bukanlah kejayaan kerajaan GRS, sebaliknya legasi bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal.
Ahli Majlis Tertinggi Warisan, Mudi Dubing, berkata peningkatan hasil negeri datang daripada pelaksanaan Cukai Jualan Petroleum (STP) yang dirunding dan dimuktamadkan Shafie.
“GRS sekadar menumpang hasil perjuangan orang lain,” katanya.
Menurutnya, walaupun Sabah mengutip hasil tinggi, rakyat masih berdepan masalah asas seperti bekalan air terputus-putus, jalan rosak, projek Pan Borneo terbengkalai dan banjir berulang.
Beliau turut mempersoalkan keberkesanan peruntukan RM4 juta untuk setiap ADUN serta menyifatkan pembinaan 120 unit Rumah SMJ terlalu kecil berbanding keperluan sebenar.
Mudi menambah, kegagalan menuntut hak 40% hasil Sabah menunjukkan GRS lebih mementingkan jawatan berbanding rakyat.
“Rakyat tidak boleh makan angka. Mereka mahu air bersih, jalan baik, hospital lengkap, peluang kerja dan hak 40% dikembalikan,” tegasnya.
