SEMPORNA: Seramai 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas di lima penempatan warga asing sekitar Kunak dan Semporna di sini awal pagi semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusof berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam itu membabitkan 40 anggota daripada pelbagai unit penguatkuasaan termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Semporna.
“Berdasarkan risikan seminggu serta aduan awam, seramai 73 individu diperiksa. Hasilnya, 40 PATI ditahan termasuk 19 lelaki, empat wanita, 11 kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan.
“Mereka terdiri daripada warga Pakistan, Filipina dan Indonesia yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tiada dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,”katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sitti Sahela berkata, semua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Semporna untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
Katanya, sejak awal tahun ini, seramai 19,252 individu diperiksa dengan 3,902 tangkapan manakala 6,521 PATI sudah diusir ke negara asal.
“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan hanya individu yang sah dibenarkan tinggal dan bekerja di negara ini,” katanya.