Penyelenggaraan bersepadu SOGT ditunda elak pengguna tidak terkesan akibat catuan bekalan

KOTA KINABALU: Penghentian sementara untuk tugas penyelenggaraan berkala Sabah & Oil Gas Terminal (SOGT) akan ditunda pada tarikh yang akan ditentukan kelak.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, penangguhan di SOGT ini selepas mengambil kira situasi terkini Grid Sabah serta keperluan masa tambahan.

Katanya, ini untuk penyiapan ujian bagi sebahagian unit janakuasa IPP di Kimanis menggunakan bahan api alternatif disel.

“Ini termasuk kerja-kerja pembaikan loji janakuasa yang lain milik Sabah Electricity (SE) dan IPP.

“Keputusan ini dicapai setelah meneliti risiko gangguan bekalan elektrik Grid Sabah berdasarkan keadaan terkini.

“Ini berbanding dengan impak ke atas penangguhan kerja penyelenggaraan yang berlaku di SOGT,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Abdul Nasser berkata, selain itu adalah bertujuan memastikan para pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak akan terkesan akibat catuan bekalan.