Kerajaan sokong inisiatif tubuh hospis kanak-kanak pertama Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Kerajaan Negeri menyokong visi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Penjagaan Paliatif Pediatrik Malaysia (MAPPAC) untuk menubuhkan hospis kanak-kanak pertama di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah mengiktiraf kepentingan penjagaan paliatif untuk kanak-kanak.

Katanya, ini termasuk menangani cabaran merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan bagi memperkukuh keadilan dalam sistem kesihatan kepada rakyat.

“Inisiatif MMA dengan kerjasama MAPPAC untuk mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran bagi membina hospis kanak-kanak di Sabah menerusi SEPEDA Amal Borneo 2025.

“Satu kempen berbasikal rentas Borneo, merupakan satu usaha yang mulia, katanya pada majlis makan malam kutipan dana SEPEDA,” katanya.

Teks ucapannya disampaikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew.

Hajiji berkata, kanak-kanak yang mengalami penyakit serius dan tidak dapat disembuhkan bukan sahaja memerlukan perhatian perubatan.

“Tetapi juga maruah, keselesaan dan ketenangan, di mana jua mereka berada, sama ada di hospital atau di rumah.

“Keluarga mereka pula memerlukan sokongan, pemahaman dan keyakinan bahawa mereka tidak menempuh perjalanan yang sukar ini bersendirian,” jelas Hajiji.

“Secara keseluruhan, dianggarkan 80,000 kanak-kanak di seluruh negara memerlukan penjagaan sebegini dan di Sabah sahaja, sekitar 9,000 kanak-kanak menghidap penyakit yang mengancam nyawa serta tidak boleh disembuhkan,” katanya.

Menurutnya, anak-kanak ini dan keluarga mereka berhak mendapat bukan sahaja rawatan perubatan, tetapi juga belas kasihan, maruah dan sokongan sepanjang perjalanan hidup mereka.

Ketua Menteri berkata, walaupun kemajuan telah dicapai, akses kepada penjagaan paliatif pediatrik khusus masih terhad di beberapa kawasan di Sabah, khususnya di kawasan pedalaman.

“Saya dimaklumkan bahawa pada masa ini, penjagaan paliatif pediatrik hanya disediakan oleh satu pasukan berdedikasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas, sejak tahun 2013.

“Unit ini menerima lebih 100 rujukan setiap tahun dan jumlah ini semakin meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji memuji dedikasi Kementerian Kesihatan kerana terus membangunkan perkhidmatan ini di Sabah serta usaha MAPPAC membawa perkhidmatan penjagaan paliatif secara percuma berasaskan rumah ke komuniti di seluruh Sabah.