TAWAU : Proses penyukatan tanah pewartaan perkampungan seluas 88.54 ekar membabitkan Kampung Sri Menanti, Airport Lama, Sentosa Blok 4 serta Kampung Hiltop Tawau akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Tan Sri Liew Yun Fah, berkata, ini secara tidak langsung memberi manfaat lebih 10,000 penduduk selepas mendiami kawasan setinggan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan sejak 50 tahun lalu.

Katanya, setakat ini tidak timbul istilah ‘Gula-Gula Politik’ berikutan kerajaan meluluskan pewartaan ini sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
“Pada malam ini, kita menyerahkan surat kelulusan penyukatan tanah kepada wakil Pegawai Jabatan Tanah dan Ukur Tawau bagi memastikan proses penyukatan tanah ini dapat dijalankan dalam tempoh terdekat.
“Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bersama jemaah kabinet sudah bersetuju untuk meluluskan tanah setinggan seluas 88.54 ekar diserahkan kepada penduduk kampung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media selepas program Makan Malam Bersama Ketua Penduduk Kampung di DUN Kukusan di sini semalam.
Liew berkata, selepas kerja-kerja penukuran selesai dijalankan perkampungan ini akan mudah menerima bantuan kerajaan termasuk kemudahan Dewan Serbaguna, Jalan Raya serta Bantuan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Jangan hasut rakyat untuk mempertikarkan kelulusan pewartaan ini sekali gus menuduh serta menghina saya kononnya kelulusan ini tidak mampu diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Kami ikhlas membantu rakyat…Mari bersama-sama bekerja untuk memastikan kerja-kerja pengukuran tanah dapat diselesaikan segera agar mudah membuat perancangan jangka masa panjang untuk menyusun semula perkampungan setinggan di DUN Kukusan ini,” jelas Liew.
Menurutnya, selepas kelulusan pewartaan perkampungan ini diperoleh terpulang kepada rakyat di DUN Kukusan sama ada memberikan sokongan kepada kerajaan atau sebaliknya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

“Jika kamu rasa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ini bagus serta membantu rakyat teruskanlah sokong untuk memastikan kerajaan ini kembali memerintah semula.
“Ketika ini kerajaan belum bubar, kelulusan ini merupakan kepentingan rakyat di DUN Kukusan….Bukan untuk saya, tetapi untuk kepentingan rakyat pada masa depan kita berusaha sebaik mungkin untuk selesaikan masalah mereka,” katanya.
Beliau berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Jabatan Tanah dan Ukur Sabah (JTU) serta pihak yang terlibat dalam memproses pewartaan sehingga kelulusan penyukatan tanah dapat dilaksanakan.

“Selama tidak menjadi wakil rakyat, saya sentiasa berjuang untuk kepentingan mereka dengan menggunakan kewangan sendiri membantu mereka yang memerlukan.
“Apa yang penting rakyat bersatu hati, tanpa kira bangsa dan agama…Matlamat kita adalah untuk memastikan masalah setinggan di DUN Kukusan dapat dibenteras pada masa depan,” tambah Liew.
