KOTA KINABALU : Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah dan seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah berkaitan lesen perlombongan mineral di negeri ini pada 2023.
ADUN Sindumin Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob, ADUN Tanjung Batu Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, dan ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan berasingan berkaitan kes rasuah itu dibacakan kepada mereka di hadapan Hakim Jason Juga.
Yusof, 69, yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad didakwa atas satu pertuduhan menerima wang suapan RM200,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di sebuah hotel, di sini pada 2 petang, 6 Mac 2023.
Andi Muhammad Suryady, 44, yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah serta Ahli Parlimen Kalabakan didakwa menerima wang suapan RM150,000 daripada Tei sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan prospecting licence untuk cari gali mineral di Sabah, di kediaman ADUN itu di sini pada ll malam, 12 Mei 2023.
Tei, 36, didakwa atas dua pertuduhan memberikan wang rasuah masing-masing kepada Yusof dan Andi Muhammad suryadi di lokasi, masa dan tarikh yang sama.