Wisma Pelancongan dan Kebudayaan Sabah Baharu Bakal Di Bina Di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Bangunan baharu Wisma Pelancongan dan Kebudayaan Sabah setinggi 22 tingkat bakal menggantikan bangunan lama di Jalan Tunku Abdul Rahman, di ibu negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew, mengumumkan perkara itu selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Kewangan antara kementeriannya bersama Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), di semalam.

Majlis Menandatangani dokumen bersama Setiausaha Tetap kementerian Datuk Josie Lai; Pengarah Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Dr. Maklarin Lakim; Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit serta Pengurus Besar LKNS, Mackey Apison, mewakili agensi masing-masing.

“Ini merupakan satu pembangunan mercu tanda membabitkan sektor pelancongan dan kebudayaan Sabah.

“Bangunan lama Wisma Budaya akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada struktur moden yang dilengkapi kemudahan Teknologi Maklumat (IT) dan Audio Visual (AV), serta lain-lain,” katanya.

Christina berkata, jika semuanya berjalan lancar mengikut perancangan, projek ini dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Apabila siap kelak, KePKAS akan mempunyai bangunannya sendiri dan akan berpindah ke premis baharu ini bersama semua agensi di bawah kementerian.

“Kita mencadangkan bangunan ini dinamakan sebagai Wisma Pelancongan dan Kebudayaan Sabah,” jelas Christina.

Hadir sama, Pembantu Menteri Datuk Joniston Bangkuai; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Datuk Peter Lintar; Pengerusi LKNS serta Dikin Musah.