PITAS : Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pitas dan Pintasan dikenal pasti merupakan ‘fixed deposit’ kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, beliau melahirkan yakin kedua-dua DUN ini mampu meraih keputusan cemerlang dalam PRN Ke-17 sekali gus penyumbang kerusi tetap kepada GRS nanti.

Katanya, berdasarkan prestasi cemerlang kedua-dua bahagian Pitas serta Pintasan mampu mempertahankan kerusi parti itu pada PRN nanti.
“Kita mengingatkan agar ahli parti supaya tidak mudah selesa ketika berada di puncak kecemerlangan.
“Sebaliknya, pemimpin di peringkat akar umbi perlu ada kesungguhan yang tinggi untuk mencapai kemenangan bergaya pada PRN ke-17 nanti,” katanya di sini semalam.
Masiung berkata, semua ahli parti wajar mengambil contoh dari sejarah kejadian Perang Badar yang pada awalnya dimenangi tentera Islam.

“Namun akhirnya mereka tewas dengan tentera Quarisy selepas terlalu leka ketika meraikan kemenangan.
“Oleh itu, jangan mudah berasa terlalu selesa, fokus terhadap usaha untuk bagaimana memenangi PRN ke-17 yang bakal berlangsung dalam tempoh terdekat,” jelas Masiung.
Sementara itu, ketika merasmikan persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan di Kota Belud Masiung berkata, beliau meningatkan semua ahli parti supaya tidak bertindak mengikut acuan sendiri, sebaliknya bekerja mengikut arahan pucuk pimpinan parti.

“Ahli Gagasan Rakyat diingatkan agar tidak sibuk dengan teka-teki tarikh pembubaran DUN kerana ia adalah bidang tugas Presiden parti.
“Setiap pimpinan parti di peringkat bahagian hendaklah fokus dengan tugas untuk meraih kemenangan serta jangan tidak terlalu ghairah untuk melayani karenah pembangkang,” kata Masiung.
Beliau berkata, semakin pembangkang menabur fitnah, ia sudah tentu akan memberi kelebihan kepada kedudukan Gagasan Rakyat dan GRS.
