Pemergian ADUN Sungai Sibuga kehilangan besar kepada negeri Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menzahirkan ucapan takziah kepada Datin Kalsom Abd Aziz dan keluarga atas pemergian Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Allahyarham Datuk Mohamad Hamsan Awang Supain, yang meninggal dunia pada malam Ahad.

Hajiji menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan kepada negeri, terutama rakyat di kawasan diwakilinya iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga. 

“Allahyarham merupakan seorang rakan lama bersama-sama berjuang dalam pentadbiran kerajaan. 

“Beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai. Perjuangan dan sokongan beliau bersama kerajaan negeri amat dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, beliau mewakili kerajaan negeri menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga ADUN Sungai Sibuga.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang beriman dan beramal soleh,” jelas Hajiji.

Mohamad Hamsan, 65 tahun menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam Ahad di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu. 

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 2020, Mohamad Hamsan yangmewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Sungai Sibuga menewaskan empat calon lain dengan majoriti 1,538 undi.