Saraya Corporation Japan membiayai Projek Koridor Makanan Gajah Hilir Kinabatangan bernilai RM1 juta – Liew

KINABATANGAN: Saraya Corporation Japan membiayai Projek Koridor Makanan Gajah Hilir Kinabatangan bernilai RM1 juta membabitkan kawasan seluas 33.35 ekar sehingga dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew berkata, projek ini akan melibatkan penanaman pelbagai rumput di sepanjang tebing Sungai Kinabatangan bagi mewujudkan sumber makanan alternatif kepada gajah Borneo.

Katanya, Saraya Corporation merupakan sebuah organisasi mementingkan alam sekitar memastikan pergerakan gajah ini menjauhi penempatan manusia serta kawasan pertanian.

“Kerajaan negeri memberi tanggungjawab kepada Responsible Elephant Conservation Trust (RESPECT) untuk memainkan peranan utama mewujudkan koridor makanan gajah di Kinabatangan, bermula di Kampung Bilit.

“Kerjasama antara RESPECT serta Saraya Corporation akan memastikan usaha memupuk kelestarian alam sekitar selaras terhadap matlamat Sabah memastikan khazanah alam kita dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya di sini hari ini.

Liew berkata, beliau mengulangi bahawa kerajaan negeri komited untuk menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan projek ini pada masa depan.

“Tujuh pekebun ditawarkan berkhidmat dengan RESPECT bagi menjayakan projek ini. Kita menegaskan bahawa pemuliharaan tidak akan berjaya tanpa penyertaan serta kerjasama daripada masyarakat tempatan.

“Kerjasama anda semua akan memberi inspirasi kepada kami untuk memastikan Koridor Kehidupan Kinabatangan terus menjadi tempat perlindungan hidupan liar serta sumber kebanggaan bagi rakyat Sabah,” jelas Liew.

Menurutnya, kajian menunjukkan gajah akan memakan pelbagai jenis tumbuhan namun kelapa sawit serta rumput merupakan pilihan utamanya.

“Apabila kita menaiki bot di sepanjang Sungai Kinabatangan, anda akan melihat hampir semua tumbuh-tumbuhan di Kinabatangan adalah dikelilingi hutan semula jadi atau kelapa sawit.

“Ladang rumput sekarang sebenarnya sangat kecil. Di mana tebing sungai tidak mempunyai pokok, kami merancang untuk menanam dan mengekalkan rumput,” kata Liew.

Beliau menambah penanaman jenis pokok ara liar sangat digemari gajah serta haiwan hidupan liar lain, juga akan dipertimbangkan kelak.

Pada majlis itu Liew menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Pengusaha Pelancongan Kinabatangan-Koridor Kehidupan Sabah (KiTA) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Bilit.