RANAU : Seorang anak kepada anggota polis ditemui lemas pada pukul 8.05 malam tadi di Sungai Nopungan, Kampung Minihas malam tadi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Supt Mursalin Mahmud berkata, mangsa berusia 11 tahun itu ditemukan orang kampung selepas dikatakan keluar dari rumah seorang diri sekitar 12.30 tengah hari.
Katanya, mangsa seorang lelaki itu disedari tidak pulang ke rumah oleh bapanya kira-kira pukul 5.40 petang pada hari sama.
“Jarak rumah mangsa dengan tempat kejadian adalah kira-kira 500 meter.
“Siasatan awal mendapati, kedalaman sungai kira-kira dua meter. Pemeriksaan juga keadaan arus sungai seperti biasa namun terdapat pusaran air dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa mandi ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mursalin berkata, orang kampung yang membantu dalam operasi pencarian menemukan mangsa sebelum dibawa ke rumah keluarganya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor Klinik Kesihatan Lohan sekitar pukul 9.10 malam.
“Mangsa difahamkan merupakan adalah anak kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau,” jelas Mursalin.
