PITAS: Sebanyak RM10 juta diperlukan untuk membaiki kerosakan kemudahan infrastruktur rosak akibat bencana banjir melanda di daerah Pitas.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Dr. Ruddy Awah berkata, antara kemudahan dikenal pasti rosak termasuk kemudahan jalan raya, titian pejalan kaki serta jambatan gantung.

Katanya, ketika ini kos pembinaan jambatan gantung mencecah sehingga RM500,000 sekali gus berharap agar kerajaan dapat menyalurkan peruntukan dalam tempoh terdekat.
“Selepas banjir reda, kita akan dapat melihat keadaan jalan kampung, jambatan gantung serta kemudahan lain yang rosak akibat banjir.
“Anggaran kerosakan ini mungkin melebihi RM10 juta, kita akan minta pihak berkuasa untuk memberikan jumlah sebenar bagi membolehkan kemudahan tersebut dapat diperbaiki dalam tempoh terdekat,” katanya di sini hari ini.

Ruddy merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas berkata, beliau yakin kerajaan akan memberi pertimbangan peruntukan ini sekali gus menyelesaikan masalah kerosakan berkenaan.
“Hari ini saya melawat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Pekan Pitas II menempatkan 430 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan jumlah keseluruhan 1,184 orang.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah dan pihak sekolah berikutan memberi kebenaran menggunakan dewan untuk dijadikan sebagai PPS sementara,” jelas Ruddy.
Menurutnya, hampir setiap Pitas akan mengalami fenomena banjir namun kejadian kali ini lebih besar serta tidak dijangka berikutan air naik secara mendadak dalam masa sejam.
