80 rumah Kampung Sri Aman Dua Tawau musnah dalam kebakaran

TAWAU : Sebanyak 80 rumah serta sebuah masjid di kawasan penempatan atas air musnah terbakar di Kampung Sri Aman Dua, di sini, pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.30 pagi itu dilaporkan tiga mangsa berusia 14 dan 49 tahun mengalami sesak nafas.

Katanya, pihaknya bersama kekuatan 55 anggota serta bergegas ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

“Setakat ini pihak bomba mengesahkan sebanyak 80 rumah serta sebuah masjid jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira dua ekar musnah terbakar.

“Pasukan bomba juga menghadapi kesukaran semasa operasi ini berikutan perumahan di bina terlalu rapat manakala binaan terbabit daripada kayu serta keadaan angin yang tidak menentu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jemishin berkata, pihaknya terpaksa menggunakan hos bomba sejauh 600 kaki berikutan air laut surut serta terdapat jambatan yang sudah runtuh.

“Namun, kepantasan dan kaedah yang digunakan oleh pasukan bomba berjaya menyelamatkan sebanyak 250 buah rumah daripada musnah terbakar.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 9.20 pagi tadi dan pasukan bomba akan menjalankan siasatan bagi mengetahui punca serta jumlah kerugian dalam kejadian itu,”  jelas Jemishin.