KOTA KINABALU : Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah menegaskan menentang keras sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan dibawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di negeri ini.
Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Sazalye Donol Abdullah berkata, usaha ini secara langsung boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik sekali gus membawa kepada krisis baharu dalam politik di Sabah.
Katanya, PKR Sabah menzahirkan sokongan penuh serta memberi kepercayaan penuh kepada Ketua Menteri untuk terus memimpin kerajaan negeri Sabah.
“PKR Sabah melahirkan keyakinan sebagai Ketua Menteri Sabah beliau mampu memperkasa serta memperkukuhkan keadaan ekonomi disamping menstabilkan keadaan politik di Sabah.
“Ini merupakan pendirian PKR Sabah berhubung kerjasama politik serta hala tuju Negeri Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sazalye berkata, PKR Sabah menentang keras sebarang usaha menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, secara langsung mengakibatkan ketidakstabilan politik di Sabah.
“PKR sangat berkeyakinan penuh dan percaya Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor boleh membawa Sabah ke arah yang lebih cemerlang, progresif, dihormati serta disegani.
“Kami sentiasa menyokong penuh kepimpinan Ketua Menteri sebagai Pimpinan kerajaan negeri Sabah kerana secara langsung menyumbang pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan,” jelas Sazalye.
