Penyatuan 32 etnik di Tawau menjadi contoh utama di Sabah – Nizam

TAWAU : Pelbagai usaha dilakukan bagi menyatukan 32 etnik di Tawau agar menjadi inspirasi kepada rakyat di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini bertujuan bagi membantu meletakkan semula Malaysia sebagai negara hebat di seluruh rantau ini.

Katanya, kepelbagaian etnik serta anu tan agama merupakan sumber kekuatan yang perlu sentiasa dipelihara.

Nizam bergambar kenangan selepas merasmikan program itu.

“Malaysia merupakan sebuah negara yang unik dalam membuktikan bagaimana kepelbagaian dapat disatukan serta dimanfaatkan untuk pembinaan negara.

“Kepelbagaian acara komuniti seumpama ini dapat menonjolkan kekayaan latar budaya Malaysia sekali gus boleh memupuk rasa bangga dan kekitaan secara bersama semua etnik,” katanya di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, penyatuan ini merupakan   harapan kepimpinan kerajaan agar rakyat berbilang kaum, agama serta dapat menghormati antara satu sama lain.

“Hal ini kerana, negara dan negeri kita hanya boleh bergerak ke hadapan serta kekal aman sekiranya rakyat berbilang ini sentiasa bersatu padu.

“Saya berharap majlis makan malam yang julung kali diadakan ini menjadi satu titik mula untuk aktiviti akan datang yang boleh dilakukan secara bersama,” jelas Nizam.